TIADA TSUNAMI MELAYU, TETAPI TSUNAMI FITNAH PEMBANGKANG

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak akan berlaku tsunami Melayu atau Cina pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebaliknya apa yang berlaku adalah tsunami fitnah dan tohmah oleh pembangkang.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menjangkakan tsunami fitnah akan bermaharajalela dalam media sosial, namun yakin ia tidak akan berjaya mempengaruhi pengundi sehingga berlakunya tsunami Melayu atau Cina.

“Pada hemat saya, istilah tsunami Melayu itu diwujudkan setelah mereka (pembangkang) berjaya mewujudkan tsunami Cina di mana pengundi Cina ketika itu (PRU-13) berpihak kepada mereka.

Pengwujudan istilah tsunami Melayu ini dengan hajat orang Melayu akan mengundi mereka, itu sebabnya mereka (DAP) sanggup menggadaikan lambang parti mereka dengan menggunakan lambang yang lain.

“Dalam perkara ini saya hampir pasti bukan tsunami Melayu atau tsunami Cina tetapi tsunami fitnah, tsunami tohmah, tsunami membunuh perwatakan, ‘character assassination’ yang saya sebutkan dan semua ini dibanjirkan dalam media sosial.

“Setakat ini dalam PRU ke-12 dan 13, mereka berjaya dan menenggelamkan pengaruh media konvensional atau media perdana. Namun, kali ini mereka akan membayar harga yang mahal apabila gagal mewujudkan istilah itu dan menggunakan fitnah sebagai bahan untuk menanam budaya kebencian dalam kalangan rakyat khususnya untuk mempengaruhi pengundi di atas pagar.

“Keadaan sekarang berbeza, kita mempunyai 364 inisiatif dalam Manifesto BN. Di dalam PRU-13, saya sendiri Pengerusi Jawatankuasa Kabinet yang memantau pencapaian manifesto berkenaan dan pencapaian kita ialah kira-kira 99.4 peratus dan untuk manifesto kali ini, saya hampir pasti boleh dicapai 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bual Bicara Mandat di TV3 di Sri Pentas, di sini, malam ini.

AHMAD Zahid dalam program Bual Bicara Mandat yang dihoskan oleh Izwan Azir Saleh (tengah) dan Norzie Pak Wan Chek di TV3 di Sri Pentas, Petaling Jaya, malam ini. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Yang turut hadir Pengerusi Media Prima Bhd (MPB) Tan Sri Ismee Ismail; Pengarah Urusan Kumpulan MPB; Datuk Kamal Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Jalil Abdul Hamid.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cubaan Tun Dr Mahathir Mohamad mewujudkan sentimen simpati dengan mahu melawat kubur bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Zahid berkata, ia hanyalah sebahagian daripada banyak lakonan politik yang dimainkan oleh beliau.

Sedangkan dahulu katanya, Mahathir pernah berkata Nik Aziz terlalu tua untuk menjadi Menteri Besar dan Mursyidul Am PAS.

“Tetapi kini beliau menjilat ludahnya dan juga meludah ke langit yang akhirnya jatuh ke atas muka sendiri.

“Di dalam hal ini jangan mudah terpengaruh dengan taktik-taktik dilakukan oleh Mahathir kerana ia hanya mahu meraih simpati. Orang Melayu kini lebih matang dan bijak berbanding ketika zaman beliau.

“Beliau boleh menjual segala penipuan isu ketika itu tetapi tidak lagi ketika ini kerana orang Melayu lebih terbuka dan matang untuk membezakan mana yang intan dan mana yang kaca,” katanya.

Mengulas mengenai kemunculan veteran UMNO yang menyokong pembangkang pada saat akhir kempen PRU ini, Zahid percaya tindakan mereka itu disebabkan rasa kecewa kerana tidak memperoleh sesuatu atau kehendak mereka ditolak.

Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana