Jangan terpedaya dengan muslihat DAP tentang 'Tsunami Melayu'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan masyarakat Cina supaya tidak terpedaya oleh muslihat DAP berhubung apa yang dikatakan sebagai 'tsunami Melayu' iaitu peralihan undi masyarakat Melayu kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya ingin beri jaminan kepada anda bahawa tidak akan berlaku tsunami Melayu terhadap kerajaan. Sekiranya strategi itu berjaya, ia akan hanya membawa keburukan kepada masyarakat Cina. Ini kerana, kami memerlukan perwakilan masyarakat Cina yang kukuh dalam kerajaan demi kebaikan masyarakat Cina sendiri.

"Strategi DAP itu (untuk menang pilihan raya) adalah dengan (menyemai) kebencian berlandaskan hipotesis bahawa akan berlaku tsunami Melayu pada pilihan raya kali ini," kata beliau pada majlis pelancaran pembangunan semula kampus Sekolah Tinggi Kuen Cheng di Jalan Syed Putra di sini.

Najib seterusnya berkata, ketika ini, masyarakat Cina mewakili 23 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, tetapi mereka hanya mempunyai enam peratus anggota parlimen dalam kerajaan, kedudukan yang tidak mampan dalam jangka panjang dan boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat itu.

"MCA dan Gerakan bekerja keras untuk menyokong masyarakat Cina, bersama-sama kaum lain. Sebenarnya, saya sering menerima permintaan daripada (presiden MCA) Datuk Seri Liow Tiong Lai dan (presiden Gerakan) Datuk Seri Mah Siew Keong tentang bagaimana kami boleh lakukan lebih banyak lagi demi kebaikan masyarakat Cina," katanya.

Najib berkata, dari semasa ke semasa, kerajaan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan masyarakat Cina dan telah meluluskan penubuhan 10 sekolah rendah Cina baharu, tiga daripadanya dirasmikan di Johor baru-baru ini.

"Apabila sekolah Cina mengalami kekurangan guru, kami selesaikannya. Banyak lagi lah... berhubung pengiktirafan bersama ijazah universiti, kerajaan meluluskan penubuhan Xiamen University, yang bakal melakar satu lagi kisah kejayaan.

"Satu lagi kejayaan ialah New Era (kolej), yang kini menjadi kolej universiti. Kami juga melanjutkan tempoh pajakan 99 tahun bagi Chong Hwa Independent High School dan saya ingin mengesahkan bahawa pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah dimasukkan ke dalam Manifesto Barisan Nasional," kata beliau, yang disambut dengan tepukan bergemuruh oleh ibu bapa dan guru pada majlis itu.

Najib berkata kerajaan BN telah melakukan pelbagai usaha bagi mewujudkan transformasi untuk menjamin wujudnya suasana aman, stabil dan harmoni, demi kesejahteraan rakyat pada masa kini dan akan datang.

"Janganlah mencampakkannya. Negara ini adalah tempat tinggal yang penuh dengan kesejahteraan. Pelbagai perkara baik ada di sini. Tetapi, pihak di sebelah sana (pembangkang) mempunyai beberapa persepsi yang sangat tidak bertanggungjawab dan negatif. Paling tidak pun, mereka mahu mengkaji semula kontrak dengan China sekiranya mereka berkuasa. Itu suatu kesilapan besar kerana China merupakan rakan dagang nombor satu kita, dengan jumlah dagangan bernilai AS$100 bilion," katanya.

Najib berkata, oleh kerana Cina, yang merupakan ekonomi terbesar dunia, juga adalah sahabat baik dan boleh dipercayai oleh Malaysia, maka dakwaan pembangkang yang tidak bertanggungjawab seperti itu boleh dianggap sebagai sesuatu yang bodoh, berpandangan amat cetek dan umpama mengundang keburukan untuk diri sendiri.

"Tolonglah, jangan sokong dan percaya dengan apa yang mereka (DAP) kata itu yang bertujuan agar anda memberi sokongan kepada mereka. Sekiranya anda berbuat begitu, ia akan hanya merosakkan ekonomi kita. Sejak BN melancarkan manifestonya bagi PRU14, kami mendapat ulasan positif daripada agensi penarafan antarabangsa dan malah, Bank Dunia mengunjurkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi bagi negara ini.

"Kita sedang mengalami pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang pesat lagi kukuh. Kisah kejayaan Malaysia akan berterusan, dengan setiap orang memainkan peranannya...secara langsung atau tidak langsung. Anda semua adalah sebahagian daripada kisah kejayaan Malaysia itu. Sudah banyak yang kita capai dan sekiranya anda terus bersama-sama dengan kerajaan, kita boleh mencapai tahap yang lebih tinggi," kata beliau.

Najib berkata pasaran saham hanya berada pada paras 800 mata ketika beliau mula mengambil alih jawatan pada 2009 dan mencapai mata tertinggi 1,870 Khamis lepas, yang merupakan paras tertinggi dalam sejarah Malaysia.

"Dalam tempoh sembilan tahun saya menjadi perdana menteri, kerajaan telah meningkatkan kekayaan (rakyat) sebanyak sekali ganda melalui Bursa Saham Kuala Lumpur, kami telah mewujudkan 2.26 juta pekerjaan, memastikan wujudnya pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan dua kali berjaya mengelak daripada mengalami kemelesetan apabila harga minyak jatuh dua tahun lepas," katanya.

Najib mengaitkan pertumbuhan secara tekal itu dengan kepimpinan secara berhemat oleh kerajaan, yang mengamalkan dasar pragmatik dan inklusif serta memberi fokus kepada manfaat jangka panjang untuk rakyat.

Projek pembangunan semula kampus Sekolah Tingggi Kuen Cheng disiapkan dengan kos RM100 juta.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana