‘UGUTAN’ MUKHRIZ ANCAMAN KEPADA PENTADBIRAN NEGARA – CEUPACS

Tindakan Pakatan Harapan diketuai DAP yang ‘mengugut’ mahu memecat pegawai tinggi kerajaan dalam tempoh 30 hari pertama jika pakatan pembangkang itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dilihat bakal meruntuhkan struktur pentadbiran negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, tindakan Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu boleh dianggap sebagai suatu bentuk ancaman kepada jawatan pegawai tertinggi kerajaan.

Katanya, proses pelantikan pegawai tertinggi kerajaan bukanlah sebuah proses yang mudah kerana perlu mengikuti kaedah saringan ketat sehingga akhirnya dilantik ke jawatan tersebut.

“Kenyataan Mukhriz itu adalah sangat tidak wajar kerana selagi tidak bercanggah dengan peraturan, pegawai kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya dipecat.

“Janganlah mengikut pertimbangan politik semata-mata, belum memerintah lagi sudah mahu mengugut pula, kita perlu pastikan pentadbiran kerajaan itu sentiasa berjalan dengan baik, bukan dengan melemparkan ancaman sebegini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Mukhriz bahawa Pakatan Harapan yang diketuai DAP akan memecat semua pegawai tertinggi kerajaan dalam masa 30 hari pertama selepas memenangi PRU-14 semasa sesi dialog ‘Tak Ado Apo Nak Sorok’, di Seremban hari ini.

Dalam pada itu, Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman berkata, kenyataan Mukhriz itu juga seolah-olah ingin ‘menjual’ negara disebabkan pegawai kerajaan merupakan nadi penting pentadbiran.

Jelas beliau, perkara tersebut juga membuktikan bahawa pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang hanya mengikut telunjuk DAP apatah lagi Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee pernah menyuarakan hasrat mahu mengurangkan jumlah kakitangan awam sedia ada.

“Saya berpendapat pegawai tertinggi kerajaan tak seharusnya dibabitkan dalam kancah politik kerana mereka hanya menjalankan tugas dan dasar kerajaan yang memerintah.

“Sekiranya Pakatan Harapan mahu memecat kesemua mereka dalam masa 30 hari, perkara itu dilihat akan meruntuhkan keseluruhan sistem kerajaan kerana bagaimana mereka mahu memastikan urus tadbir yang baik sekiranya orang baru yang dilantik tidak mempunyai pengalaman,” jelas beliau.

Tambah Hamidah, tindakan yang bakal dilakukan Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu juga bakal menjadi stigma negatif untuk menakut-nakutkan penjawat awam.

“Kenyataan Mukhriz itu seharusnya membuka mata kepada rakyat terutamanya kakitangan kerajaan bahawa Pakatan Harapan akan membuat apa sahaja sekiranya menguasai negara.

“Ini juga membuktikan betapa lemahnya Mukhriz dalam berbicara, parti sendiri pun tidak dapat dijaga dengan elok, inikan pula ingin memerintah negara,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana