MALAYSIAKINI FITNAH, DIPERINTAH BAYAR RM200,000

Malaysiakini hari ini diperintah oleh Mahkamah Rayuan agar membayar ganti rugi RM200,000 kepada Raub Australian Gold Mine (RAGM) berhubung penerbitan artikel dan video berunsur fitnah berkaitan aktiviti perlombongan emas di Bukit Koman, Pahang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim turut mengarahkan penerbit portal berita propembangkang itu, Mkini Dotcom Sdn. Bhd. membayar kos RM150,000.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Suraya Othman sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan syarikat perlombongan emas itu.

Kuorum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman perayu, RAGM serta membenarkan permohonan injunksi menghalang portal berkenaan menerbitkan tiga artikel dan dua video berunsur fitnah.

Panel berkenaan berpuas hati bahawa laporan yang diterbitkan mendakwa aktiviti perlombo­ngan yang dijalankan oleh syarikat itu menjejaskan penduduk Bukit Koman, adalah tidak seimbang dan tidak adil kepada perayu.

Pada 23 Mei 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tuntutan saman RAGM ke atas Malaysiakini serta tiga defendan lain yang menjadi anggota sidang pengarang portal berkenaan.

Panel itu berpendapat, Mahkamah Tinggi terkhilaf sewaktu mempertahankan laporan portal itu kerana gagal mengambil pertimbangan yang sewajar­nya berhubung ‘pembelaan Rey­nolds’ yang menjadi syarat dalam prinsip kewartawanan.

Portal berkenaan disaman berikutan laporan yang diterbitkan­nya berhubung dakwaan penduduk Bukit Koman bahawa penggunaan bahan kimia mengandungi sianida bagi aktiviti perlombongan emas di kawasan itu telah menjejaskan kesihatan mereka.

RAGM diwakili oleh peguam Tan Sri Cecil Abraham manakala responden-responden diwakili oleh James Khong dan Syahredzan Johan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana