Program 'Busking Tanpa Henti' hujung minggu ini di KL...

Lebih 200 kumpulan penghibur jalanan tempatan dan antarabangsa bakal membuat persembahan busking tanpa henti selama 2,017 minit atau 34 jam, mulai 25 hingga 26 November ini sekaligus bersedia melakar sejarah Malaysian Book of Records.

Program Busking Tanpa Henti 2,017 Minit anjuran Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) yang akan diadakan di Balai Seni Visual Negara itu sebagai penghargaan terhadap sokongan rakyat Malaysia dalam industri busking.

Presiden MYBC, Wady Hamdan berkata program yang dianjurkan bersempena Kuala Lumpur Biennale 2017 (KL Biennale 2017) itu melibatkan persembahan istimewa oleh peserta terdiri daripada individu dan berkumpulan, antaranya dari Jepun, Indonesia, United Kingdom dan Pakistan.

Beliau berkata, setiap kumpulan akan diberikan masa selama 30 minit bagi satu persembahan, yang akan bermula pada 9 pagi (25 November) dan berakhir pada 7 malam (26 November).

"Industri buskers di Malaysia sejak empat tahun lalu hingga kini melalui revolusi yang begitu rancak sekali kerana ia bukan sahaja menjadi penggerak pembangunan belia serta penyumbang kepada ekonomi dalam sektor pelancongan, malah boleh dijadikan kerjaya dan sumber pendapatan yang berbaloi kepada seseorang.

"Kini, kita boleh jumpa kumpulan buskers di mana-mana sahaja sama ada di kompleks beli-belah, televisyen dan ada juga di lapangan terbang," katanya dalam sidang media sempena program itu.

Wady berkata buat masa ini, terdapat 13,000 anggota buskers berdaftar bawah MYBC di seluruh Malaysia.

Antara aktiviti yang akan berlangsung sepanjang program itu ialah bengkel mengenai industri muzik dan penciptaan lagu oleh komposer dan pemuzik terkenal, Edrie Hashim, jualan daripada kendera saji serta 'car boot sale'.

KL Biennale 2017 bertemakan Belas merupakan program pameran seni antarabangsa anjuran Balai Seni Visual Negara bagi melihat perubahan cara menjiwai seni dan membangkitkan gaya penceritaan serta naratif oleh karyawan, pemuliharaan, artis, pengamal, saintis, organisasi, komuniti dan pelbagai personaliti.

Pameran tersebut yang bermula sejak 1 November lalu hingga 31 Mac tahun hadapan diadakan di beberapa lokasi sekitar ibu negara.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana