FAKTA PUNCA AZMIN BOIKOT AKHBAR ARUS PERDANA?

SEORANG ahli politik jika benar dia pemimpin tulen, dia tidak gentar dikritik dan tidak pula cuba menutup mulut pengkritiknya dengan kuasa yang ada.

Ini kerana dia sedar di setiap kritikan tersebut jika dia berupaya menjawabnya dengan baik, sokongan politik kepadanya akan meningkat.

Malah, itulah yang sepatutnya menjadi pegangan dalam sebuah negara demokrasi.

Apatah lagi jika politikus mahupun parti politik terbabit bercakap soal kebebasan bersuara. Bukannya mundur ke belakang dengan memboikot sesebuah akhbar yang kritikal terhadap kepimpinannya.

Namun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal melihat sudut ini. Beliau tidak betah apabila dikritik. Resah bila kelemahan pentadbirannya didedahkan dan gundah-gulana seandainya rakyat bingkas ‘mengamuk’ disebabkan pendedahan akhbar arus perdana tanah air.

Natijahnya, dalam satu gerakan politik yang dilihat sebagai cukup tidak matang, Azmin pada minggu lalu mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri menghentikan langganan akhbar kumpulan Utusan dan Berita Harian.

Arahan tersebut sebagai mengulangi pekeliling bertarikh 12 Jun 2008, beberapa bulan selepas Pakatan Rakyat (ketika itu) membentuk kerajaan Selangor, sekali gus memperlihatkan siapa Azmin sebenarnya. Dan di mana nilai kebebasan bersuara yang konon diperjuangkannya.

Ironinya ternyata pekeliling itu tidak dipedulikan jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri sebelum ini kerana mereka tetap melanggan akhbar kumpulan Utusan serta Berita Hari­an sehingga memaksa Azmin mengulanginya sekali lagi.

Seperti biasa, Timbalan Presiden PKR itu menuduh Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai akhbar arus perdana yang menyebarkan fitnah dalam tindakan terde­saknya untuk menjustifikasikan langkah tidak matang tersebut, yang sehingga kini dikritik pelbagai pihak.

Persoalannya mana fitnah yang Azmin sebutkan? Apakah misalnya dengan mendedahkan skandal pemilikan tanah Sungai Yu, yang terbukti wujud 18 nama pemilik dipalsukan butiran kad pengenalan mereka selain bukan penduduk tempatan adalah satu fitnah bagi Azmin?

Apakah dengan melaporkan misteri bagaimana ‘hilang­nya’ peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) berjumlah RM500 juta dalam Bajet Selangor 2018 yang dibentangkan Azmin sehingga akhirnya dibuat ralat oleh kerajaan negeri juga satu fitnah?

Apakah dengan mendedahkan skandal RM16 juta di antara Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan syarikat Jana Niaga Sdn. Bhd.(JNSB) dan Universiti Selangor (Unisel) sehingga membawa kepada serbuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dianggap fitnah?

Atau apakah dengan menyiarkan bagaimana Selangor di bawah kepimpinan Azmin mencatatkan jumlah tertinggi kes demam serta kematian akibat denggi sehingga mendorong kerajaan negeri menyalahkan rakyat, pendatang asing dan pembangunan sebagai punca juga merupakan fitnah?

Jika itu takrifan fitnah yang dimaksudnya Azmin, maka tidak peliklah mengapa beliau boleh berlapang dada dalam persoalan pesta arak sehingga mengizinkan aktiviti tidak sihat tersebut dijayakan di Selangor walaupun umat Islam membantah keras acara berkenaan.

Bahkan, Azmin seperti tidak kisah atau dalam erti kata lain merelakan sahaja apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menolak usul memperkukuhkan Institusi Mahkamah Syariah yang sepatutnya diperjuangkan beliau sebagai pe­mimpin Islam.

Begitu juga halnya apabila beliau ‘kering hati’ dengan mengagalkan pembinaan dua buah balai bomba baharu di Selangor apabila mengenakan caj premium tanah terlalu tinggi – yang melebihi kos pembinaan balai itu sendiri meskipun semua sedar balai tersebut untuk rakyat.

Dalam hal ini, Azmin boleh memberi apa sahaja alasan kepada sikap tidak gentlemen beliau itu.

Begitu pun satu perkara yang perlu direnungi rakyat Se­langor dan Malaysia keseluruhannya bahawa tindakan Azmin itu merupakan isyarat awal iaitu jika pembangkang meme­rintah, Pakatan Harapan akan menyekat sesiapa sahaja yang tidak menyebelahi mereka.

Mohd Asron Mustapha
Utusan

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana