Bagaimana Tun Mahathir Mencipta Persepsi

Oleh: AZMAN HUSSIN

APA yang kini mampu dilakukan oleh Dr Mahathir adalah mencipta persepsi-persepsi yang memgelirukan, setelah pelbagai usaha beliau menumbangkan kerajaan menemui kegagalan.

Persepsi, lebih-kurang bermaksud suatu tanggapan yang tertanam dalam minda masyarakat, yang dipercayai benar walaupun ia tidak terbukti secara konkrit.

Tulisan beliau yang terbaru, 21 November, bertajuk Takut Kalah, adalah satu  contoh bagaimana beliau cuba mencipta persepsi untuk mengelirukan orang ramai. Beliau memahami psikologi orang ramai yang tidak begitu memahami keadaan politik yang sebenar. Seperti yang diketahui, ramai orang  yang tidak mahu mengambil tahu sesuatu isu secara terperinci, melainkan hanya mempercayainya membuta-tuli. Kesempatan ini dieksploitasi oleh beliau untuk membutakan pandangan orang ramai atas sesuatu isu itu.

Kaedah yang beliau gunakan sangat mudah dan berkesan kepada orang ramai yang tidak mahu berfikir, tidak mahu mempersoalkan dan mudah menerima apa sahaja. Beliau secara tidak sedar berjaya mengolah persetujuan orang ramai untuk menerima dakwaannya.

Orang ramai, dalam keadaan buta maklumat sebenar, apatah lagi jika ia disuarakan oleh seorang bekas Perdana Menteri terlama Malaysia, tentulah cenderung menerima sesuatu yang dikatakannya itu sebagai benar.

Berpremiskan Dato’ Sri Najib (Perdana Menteri) takut kalah, beliau tanpa disedari ramai, cuba mengolah suatu persetujuan atau kesimpulan bagi pihak orang ramai. Katanya, kerana takut kalah, Perdana Menteri sanggup melakukan apa sahaja.

Saya petik tulisannya, “untuk elak dari kalah, Najib sanggup buat apa saja. Bahawa perbuatannya boleh ditakrif sebagai penipuan, haram, bertentangan dengan undang-undang, tidak bermoral, memalukan, melawan arus dan adat, tidak mengapa. Jika ia dipandang hina, pedulikan. Rasuah, sogokan dilakukan secara terbuka tanpa segan silu. Jabatan kerajaan diperalatkan secara salah. Pembangkang ditekan, disoal, ditahan, dipenjara oleh polis, didakwa di mahkamah.”

Benar, apabila seseorang itu salah dan takut kalah, tentulah dia cenderung membuat apa sahaja seperti yang dikatakan oleh Dr Mahathir itu. Semua orang akan menyetujui apa yang dikatakan oleh beliau itu. Ini sebenarnya secara tidak langsung berjaya membuatkan orang ramai bersetuju dengan beliau. Tanpa sedar beliau cuba mengelirukan orang ramai. Beliau menulis seolah-olah semua orang bersetuju yang Perdana Menteri berlaku zalim. Beliau meletakkan kenyataan Perdana Menteri zalim itu sebagai suatu rahsia terbuka.

Apa yang mungkin orang ramai perlu persoalkan adalah, benarkah Perdana Menteri bersalah dan takut kalah?

Mari kita lihat pula premis-premis lain yang dibuat oleh Dr Mahathir dengan menggunakan kaedah yang sama.

Beliau seterusnya menyenaraikan tuduhan-tuduhan beliau yang lain: “Jabatan Hasil Dalam Negeri tuntut cukai tanpa asas, senarai hitam peniaga dan perniagaan, tahan passport.”

Beliau mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa pembangkang dianiayai seperti didakwa terlibat dengan pembersihan wang haram, mengelak cukai, wang dibekukan, tak dapat berniaga, disekat perniagaan, dituduh menyeleweng wang, ditahan dan disoal, malah diaibkan dengan memakai pakaian lokap.

Sebaliknya perkara-perkara ini tidak berlaku kepada penyokong kerajaan, dakwanya, untuk menguatkan lagi hujah-hujahnya.

Apa yang dikatakan beliau itu adalah benar, iaitu seseorang yang zalim akan bertindak begitu. Orang ramai akan mempercayai dakwaan beliau itu kerana ia adalah perkara biasa apabila seseorang itu zalim dan tidak mahu menerima kekalahan. Tiada siapapun yang mungkin membantahnya.

Ia seperti yang dikatakan beliau bahawa “bagi yang membuat dosa ada balasan lagi di akhirat.”

Semua orang tahu perkara ini, iaitu bahawa sesiapa yang membuat dosa akan menerima balasannya di akhirat. Tiada apa yang peliknya.

Tetapi, persoalan yang perlu diajukan kepada beliau, adakah Perdana Menteri hari ini “membuat dosa” tersebut sehingga kita mesti mempercayai bahawa tindakan-tindakan kerajaan menahan individu-individu tertentu atau melakukan tindakan yang seperti didakwa beliau itu adalah salah.

Apa yang peliknya, beliau secara tidak sedar, cuba memaksa orang ramai mempercayai Perdana Menteri bersalah dan semua tindakan kerajaan itu suatu kezaliman. Itulah yang mungkin tidak disedari oleh orang ramai kerana beliau menulis seolah-olah semua orang menyetujui dakwaannya itu.

Beliau perlu membuktikan perkara tersebut sebelum orang ramai menerima kesimpulan beliau itu. Sebaliknya beliau terus memberi kesimpulan untuk dipercayai oleh orang ramai.

Jadi, apa yang mahu dilakukan Dr Mahathir sebenarnya adalah beliau mahu orang ramai mempercayai kesimpulannya itu membabi-buta.

Agar lebih jelas, biar saya terangkan lagi.

Kita nampak apa yang dikatakan Dr Mahathir itu berlaku, bahawa ada orang yang ditahan kerana dakwaan menyeleweng. Dr Mahathir berhujah, ia adalah penganiayaan.

Benar, ia adalah kezaliman jika apa yang dikatakan Dr Mahathir bahawa Perdana Menteri “berdosa” adalah benar.

Tetapi, bagaimana jika Perdana Menteri tidak bersalah dan tindakan-tindakan itu adalah perkara biasa dalam menegakkan undang-undang dan keadilan?

Ironinya, Dr Mahathir tidak menunjukkan bukti “dosa-dosa” Perdana Menteri secara jelas. Ia hanyalah dakwaan-dakwaan. Beliau hanya menunjukkan tindakan-tindakan kerajaan yang sebenarnya terbuka kepada dua kemungkinan, iaitu pertama, kerajaan betul melakukannya, dan kedua kerajaan menyalahgunakan kuasa untuk menekan pembangkang.

Maksudnya, kita perlu membuktikan premis pertama adalah betul, iaitu Perdana Menteri bersalah, barulah kita boleh membuat kesimpulannya bahawa tindakan-tindakan beliau itu adalah salah sebagaimana dakwaan Dr Mahathir.

Apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir adalah sebaliknya. Beliau mengambil kesimpulan untuk membuktikan premisnya adalah benar.

Dalam bahasa yang mudah, Dr Mahathir berkata Perdana Menteri zalim kerana menahan dan menganiayai pembangkang untuk menutupi kejahatan-kejahatannya. Misalnya menahan pembangkang. Beliau menunjukkan contoh pembangkang ditahan. Dan ia memang berlaku. Tiada siapa yang boleh menafikannya.

Masalahnya, boleh jadi tindakan kerajaan adalah betul, misalnya menahan pembangkang kerana mereka memang terlibat dengan salahlaku.

Masalah parti beliau PPBM juga dipersalahkan kepada Perdana Menteri, atas alasan kerajaan takut, walhal ia adalah kesilapan beliau sendiri menguruskannya, iaitu tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) selepas lebih setahun ditubuhkan.

Selain itu, dengan menggunakan kaedah yang sama, beliau mahu meraih persetujuan orang ramai untuk menerima persepsi bahawa Perdana Menteri menyeleweng duit 1MDB berbilion, menerima rm2.6 bilion dalam akaun sendiri, dan duit Felda, KWSP, KWAP dan Tabung Haji telah hilang.

Memetik sekali lagi ucapan beliau sendiri, “bagi yang membuat dosa ada balasannya di akhirat.” Memang ada balasannya di akhirat kepada yang berdosa. Tetapi, kita mesti membuktikan bahawa orang itu memang berdosa sebelum mengancam dengan membuat kesimpulan itu.

Dalam konteks tulisan Dr Mahathir, beliau hanya mengelirukan orang ramai untuk menyetujui bahawa Perdana Menteri “berdosa.”

Kemudian, lebih lanjut, beliau membuat kesimpulan bahawa “Buatlah apa pun. Majoriti rakyat sudah putuskan. Najib akan disingkir. Derita rakyat hanya dapat ditamatkan dengan memilih Pakatan Harapan.”  Dengan slogan”rakyat tidak bodoh”, beliau mahu menimbulkan persepsi bahawa rakyat bersama beliau untuk menjatuhkan kerajaan.

Seperti lagak agamawan, beliau mengancam bahawa “Najib! Kamu patut takut. Dosa kamu akan membawa kekalahan di dunia.”

Jadi, bagi yang celik politik, apa yang ditulis oleh Dr Mahathir itu hanyalah suatu kaedah untuk memesongkan pemikiran orang ramai, dan ia bukan persoalan penting atau utama selagi beliau tidak membahaskan perkara pokok, apakah bukti-bukti beliau bahawa Perdana Menteri “berdosa” seperti yang beliau dakwa.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana