MAJLIS HAK ASASI : TUDUHAN LIM KIT SIANG BERNIAT JAHAT

Tuduhan pemimpin DAP Lim Kit Siang berhubung kegagalan Malaysia dalam membida untuk menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu disebabkan kegagalan kepimpinan adalah berniat jahat dan tidak berasas, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Dalam menyangkal kenyataan media Lim itu, beliau berkata tuduhan itu juga merupakan penghinaan kepada negara ini dan ramai pegawai berdedikasi yang berusaha keras untuk melihat bendera negara berkibar megah di pertubuhan antarabangsa.

Beliau menjelaskan jika seseorang itu benar-benar memahami cara kerja sesebuah pertubuhan antarabangsa, dia akan menghargai hakikat bahawa kegagalan dalam membida bukan menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku dalam pemerintahan sesebuah negara.

Sebaliknya, beliau berkata ia mungkin disebabkan beberapa perkara yang, antara lain, termasuk mendapatkan “undi simpati” oleh calon yang mencuba kali pertama dan oleh calon yang kalah dalam bidaan sebelum ini.

“Tuduhan bahawa reputasi antarabangsa Malaysia dan kedudukan hak asasi manusianya jatuh merudum di bawah kepimpinan semasa tidak lebih daripada tindakan seorang lelaki (Lim) yang melepaskan kemarahannya terhadap kepimpinan semasa.

“Kenyataan ini tidak disokong fakta dan tidak masuk akal oleh kerana beliau (Lim) sendiri yang berhujah bahawa sesetengah negara yang mempunyai rekod hak asasi manusia yang begitu buruk tetapi turut terpilih. Oleh itu, bukan setakat pendapatnya sendiri bercanggah, tetapi turut membuktikan bahawa teorinya yang mengaitkan kegagalan bidaan dengan kepimpinan semasa adalah cacat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anifah berkata kejayaan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB selama 2 penggal sebelum ini merupakan pencapaian yang hebat dan pengiktirafan kepada status hak asasi manusia Malaysia.

“Malaysia telah memenangi beberapa pemilihan dalam pertubuhan antarabangsa sebelum ini dan baru-baru ini. Ke arah itu, kementerian saya berusaha keras untuk memastikan keputusan terbaik diperoleh tanpa mengira iklim politik di peringkat antarabangsa. Kita sebelum ini pun banyak meraih kejayaan, dan saya yakin, banyak lagi kejayaan yang akan dicapai,” katanya.

Sebagai contoh, Anifah berkata di bawah kepimpinan Najib, Malaysia dilantik sebagai penyelaras Kumpulan Asia-Pasifik (APG) dalam Majlis Hak Asasi Manusia bagi 2016; dicalonkan untuk mewakili APG dalam Kumpulan Perundingan bagi tempoh April 2017-Mac 2018; anggota bukan tetap Majlis Keselamatan PBB (2015-2016) dan menjadi anggota Lembaga Eksekutif UNESCO (2015-2019).

Selain itu, beliau berkata Malaysia juga adalah anggota Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (2016-2019); anggota Suruhanjaya mengenai Had Pelantar Benua (2017-2022) atau dalam beberapa lagi Jawatankuasa dan Suruhanjaya.

“Lim membuat keputusan untuk mengabaikan kesemua pencapaian ini dan mengambil pendekatan yang agak peribadi dengan membuat andaian salah, pemikiran yang terikat dan tuduhan tidak berasas yang mengaitkan (dengan agak cetek) kegagalan bidaan Malaysia itu dengan kepimpinan perdana menteri, malah memanjangkan sehingga mengaitkannya dengan isu 1MDB,” katanya.

Anifah berkata mereka yang terlibat dalam bidang hubungan antarabangsa amat menyedari bahawa mana-mana calon (sama ada Negara atau wakil) tidak akan menang setiap kali namanya dikemukakan.

“Ini disebabkan oleh keadaan geopolitik yang sentiasa berubah dan seringkali berlainan dalam landskap organisasi antarabangsa. Fakta ini mudah, malangnya ada pihak mendapati ia sukar untuk difahami,” katanya.

Anifah menjelaskan bahawa kegagalan membida itu mungkin berpunca daripada beberapa sebab, antaranya, calon yang bertanding bagi kali pertama cuba mendapatkan undi simpati dan calon yang kalah dalam cubaan sebelum ini.

“Dalam menangguhkan bidaan Malaysia bagi kerusi Majlis dari 2017-2019 hingga 2018-2020, negara-negara yang bersetuju dengan aturan QPQ (di mana sesebuah negara menyatakan sokongan kepada calon sebagai pertukaran untuk sokongan bagi pencalonannya dalam pertubuhan lain), dengan Malaysia bagi tempoh 2017-2019, tidak dapat melanjutkan sokongannya bagi bidaan baharu oleh kerana mereka telah pun menjanjikan sokongan kepada calon lain.

“Untuk terus memburukkan lagi keadaan, negara-negara seperti Myanmar dan Korea Utara tidak mengotakan janji mereka untuk menyokong bidaan Malaysia bagi tempoh 2018-2020 disebabkan ketegangan dalam hubungan,” katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 2018-2020, dengan mengecualikan Kumpulan Asia Pasifik, semua Kumpulan lain (Afrika, Eropah Timur, Amerika Latin dan Caribbean dan Eropah Barat) mempunyai calon yang bersih, bermakna tiada persaingan bagi kerusi dalam Perkumpulan masing-masing, justeru, sebab itulah negara seperti Angola dan DRC mendapat tempat dalam Majlis berkenaan. – BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana