ADA ‘BERITA BAIK’ UNTUK SEKTOR KEUSAHAWANAN DALAM #BAJET2018 – PM

Perdana Menteri hari ini menjanjikan ‘berita baik’ dan menarik untuk sektor keusahawanan negara ketika pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober ini.

Tanpa mengulas lanjut mengenai ‘berita baik’ yang akan diumumkan itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bakal merancakkan lagi sektor berkenaan.

Katanya, berita baik itu bukti komitmen kerajaan dalam memberi sokongan kepada industri keusahawanan negara, khususnya golongan usahawan desa agar terus berkembang sebagai pemain utama di peringkat antarabangsa.

Perdana menteri berkata, dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) sahaja kerajaan memperuntukkan RM1.04 bilion bagi program pembangunan keusahawanan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM520.1 juta adalah program keusahawanan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), manakala bakinya RM521.12 juta dilaksanakan oleh agensi lain di bawah kementerian berkenaan,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD 2017) anjuran KKLW di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri KKLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi dua tahun pertama pelaksanaan RMK-11 pula, sebanyak RM253.68 juta telah diperuntukkan kepada KKLW untuk melaksanakan program keusahawanan.

Menurutnya, dalam Bajet 2017, tidak kurang daripada 10 inisiatif telah diperkenal untuk memperkukuhkan sektor keusahawanan.

Beliau turut menggesa golongan usahawan supaya peka dengan perubahan landskap ekonomi semasa yang kini menuju gelombang Revolusi Perindustrian Keempat yang bersandarkan kepada penggunaan teknologi terkini dan industri berasaskan pengetahuan.

“Kecanggihan teknologi digital sedang dan akan mengubah cara perniagaan dijalankan seperti blok rantaian, mata wang digital, urus niaga atas talian dan transaksi tanpa tunai yang menjadi perkara biasa baharu dalam ekosistem keusahawanan dan perniagaan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus memperkasa golongan usahawan tempatan bagi memastikan mereka dilengkapi dengan ilmu terkini, inovatif serta mempunyai daya tahan yang tinggi.

Katanya, bagi mencapai agenda tersebut, kerajaan telah memperkenalkan Zon Perdagangan Bebas Digital, iaitu hab ekonomi digital pertama di luar China yang akan dilancarkan 3 November ini.

“Menerusi inisiatif Bandaraya Internet Kuala Lumpur yang akan dimajukan di Bandar Malaysia sebagai hab e-dagang yang terhebat di dunia ini, sebanyak 1,500 perusahaan kecil dan sederhana yang layak akan disenaraikan di platform e-dagang, Alibaba.com, justeru, usahawan desa perlu merebut peluang ini untuk memasuki liga sebagai pemain global,” katanya.

KUD edisi 2017 disertai lebih 700 usahawan dengan jangkaan nilai jualan lebih RM3 juta, nilai tempahan sebanyak RM10.5 juta dengan jangkaan pengunjung lebih sejuta orang.

“Melihat kepada angka-angka ini, KUD diyakini mampu menjadi platform yang berkesan bagi mewujudkan hubungan kerjasama strategik di antara usahawan, pemborong, pemasar, institusi kewangan dan pembiayaan serta agensi kerajaan yang terlibat dalam pembangunan usahawan,” kata Najib.

Karnival dwitahunan daripada 19 hingga 22 Oktober itu bertema ‘Usahawan Desa Produk Global’ menawarkan produk usahawan daripada enam kluster iaitu makanan dan minuman, produk pertanian, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan ICT Kreatif serta perkhidmatan dan pelancongan.

Karnival itu turut merangkumi aktiviti seperti Hari Dagangan dan Padanan Perniagaan bersama 65 syarikat berpotensi, seminar keusahawanan, forum usahawan siswa, persembahan kebudayaan, demonstrasi produk, masakan dan kraftangan. – BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana