WAN AZIZAH MAKIN TENGGELAM DALAM PAKATAN HARAPAN – TIMBALAN PRESIDEN PAS

Peranan Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Pakatan Harapan (PH) sudah tenggelam, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ujarnya, PH kini dikuasai pengerusi barunya, Tun Dr Mahathir Mohamad malah media juga sentiasa merujuk kenyataannya berbanding Presiden PH itu.

Bukan itu sahaja, Tuan Ibrahim turut menyifatkan perjuangan Azizah untuk membebaskan suaminya, Ketua Umum PH daripada hukuman penjara atas kesalahan sodomi juga makin tenggelam.

“Tun Mahathir ialah pengerusi (PH), sepatutnya presiden (Wan Azizah) yang keluarkan kenyataan. Cuma bagi saya banyak media mengambil apa yang Tun Mahathir sebut. Jadi (peranan) presiden macam tenggelam.

“Saya fikir bukan sahaja peranan dia tenggelam dalam PH, perjuangan yang dia sebut untuk bebaskan Anwar tu pun saya rasa dah makin tenggelam,” katanya kepada Antarapos selepas Majlis Pra- Perasmian Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-4 di Dataran Stadium Kota Bahru, Kelantan malam tadi.

PH pada minggu lalu mengumumkan senarai struktur kepimpinan barunya yang menyaksikan Dr Mahathir dijulang sebagai pengerusi, sementara Azizah menjadi presiden manakala Anwar sekadar dinamakan untuk jawatan ketua umum.

Tuan Ibrahim berkata, beliau yakin bukan hanya rakyat yang pening melihat struktur kepimpinan baru PH itu, malah dikalangan pemimpin gagasan itu sendiri keliru dengan peranan ‘tiga kepala’ teratasnya.

“Saya rasa bukan kita sahaja pening, dia (PH) pun pening. Cuma bagi rakyat melihat bahawa ada tiga kepala yang nak berjalan serentak ni, macam mana, wallahualam.

“Bila dia letak penasihatnya lain, pengerusinya lain, presidennya lain, jadi siapa yang di atas? Yang paling atas penasihat umumlah, tapi (Anwar) duduk dalam penjara, jadi realitinya Tun Mahathirlah (yang paling berkuasa),” katanya lagi.

Pemimpin PH sebelum ini menafikan struktur baru gagasannya akan mewujudkan pemusatan kuasa antara Dr Mahathir, Azizah serta Anwar, malah mereka tetap berpegang bahawa sebarang keputusan akan dibuat secara konsensus.

Mereka juga berpegang kepada jaminan Dr Mahathir bahawa taraf semua parti komponen dalam PH adalah sama rata.

Tuan Ibrahim kemudiannya diminta mengulas kesediaan Dr Mahathir untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jika terdesak.

“Saya fikir dalam sistem demokrasi ni terbuka, siapa-siapa nak bertanding, cukup syarat dan sebagainya dan bagi PAS itu hak dialah untuk bertanding.

“Mungkin dalam konteks sebagai pengerusi, adakah peluang untuk beliau bertanding? Mungkinlah (ada) walaupun banyak kali beliau cakap tak nak bertanding.

“Cuma sekarang orang nak tengok beliau buktikan ataupun buat tidak? Bagi saya dan PAS ini hak peribadi beliau dan PH,” katanya.

Dr Mahathir pada Rabu dilaporkan berkata, beliau tidak menolak untuk menjadi calon PRU14 sekiranya keadaan terdesak seperti ketiadaan calon yang sesuai.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini keadaan itu tidak timbul kerana parti itu masih mempunyai ramai calon yang layak.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana